![]() | |
credit to http://www.airforce.gov.my/organisasi/pasukan-simpanan-tentera-udara/ |
Am.
Dasar Pertahanan Negara menggariskan
Angkatan Tentera Malaysia hendaklah mengandungi Pasukan Tetap dan
Pasukan Simpanan. Istilah Pasukan Simpanan merujuk kepada Simpanan
Angkatan Tetap (SAT) dan Simpanan Sukarela (SS) seperti berikut:
- Simpanan Angkatan Tetap (SAT). Terdiri daripada pegawai dan anggota LLP Angkatan Tetap TUDM yang telah bersara atau berhenti daripada perkhidmatan dan dikehendaki bertugas sebagai anggota Simpanan Angkatan Tetap (SAT) selama 5 tahun dari tarikh bersara atau berhenti daripada perkhidmatan.
- Simpanan Sukarela (SS). Terdiri daripada pegawai dan LLP Angkatan Sukarela TUDM daripada Pegawai PSSTUDM, Pegawai Kadet PALAPES Udara, Perajurit Muda PLAS, Anggota LLP PLAS dan anggota Sukarela Biasa.
Visi PSTU.
Visi PSTU adalah untuk menubuhkan satu
pasukan simpanan yang bersedia untuk menambahkan atau membantu kekuatan
kuasa udara TUDM semasa peperangan dan konflik dengan berkesan.
Misi PSTU.
Misi PSTU adalah untuk mengaugmentasi
Pasukan Tetap TUDM dengan berkesan untuk mempertahankan kedaulatan dan
keutuhan negara dan kepentingan dalam masa peperangan atau konflik.
Sejarah Penubuhan PSTU.
Perjawatan Flait 101 pada asalnya
diwujudkan pada 24 April 1959 apabila Jawatankuasa Perjawatan telah
meluluskannya melalui Mesyuarat Perjawatan ke-26 dengan kekuatan asalnya
seramai 15 orang Pegawai TUDM dan 85 orang Anggota Lain-Lain Pangkat
(LLP). Peranan Flait 101 pada ketika itu hanyalah tertumpu kepada
pengurusan keselamatan pangkalan seperti mengawal pintu masuk pangkalan.
Walau bagaimanapun, pada awal tahun 1988, Flait 101 telah dipindahkan
ke TUDM Alor Setar untuk penubuhan Skuadron Udara Universiti (SUU).
Skuadron ini ditubuhkan bagi membolehkan siswa-siswa daripada skuadron
ini menjalani latihan penerbangan tetapi memandangkan kekurangan pesawat
dan juga kekangan kewangan maka fungsi skuadron tersebut telah
dihentikan.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
telah mengambil langkah mengubahsuai Pasukan Simpanannya yang asal Flait
101 kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSTU) sejajar dengan
keputusan Lembaga Menteri pada 6 Oktober 1993 supaya menguatkuasakan
Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT). Dengan tertubuhnya PSTU,
perkhidmatan TUDM akan menjadi lebih kuat dan mantap kerana PSTU boleh
dikerah untuk melaksanakan tugas semasa konflik atau peperangan. Lembaga
Menteri telah memutuskan bahawa PSTU ditetapkan dengan nisbah 3 : 1
iaitu 3 Anggota Tetap dan 1 Anggota Simpanan.
Dengan pengubahsuaian PSTU daripada
Flait 101 makanya TUDM turut menubuhkan Jabatanarah untuk PSTU di
peringkat Markas TUDM secara ‘ad-hoc’ pada 9 Februari 2002 yang
bertujuan untuk menangani pelbagai perkara berkaitan dengan PSTU.
Keanggotaan JPSTU kini adalah berdasarkan tumpangan dan pinjaman
daripada unit-unit lain selain daripada menggunakan perjawatan Flait
101.
Objektif PSTU.
Sebagai unit simpanan, PSTU mempunyai objektif tertentu seperti berikut:
- Untuk menentukan supaya operasi udara TUDM dapat dilaksanakan secara berterusan sewaktu berlaku darurat atau peperangan.
- Untuk mewujudkan kumpulan pekerja yang berkeupayaan dan terlatih dalam penyelenggaraan dan rawatan pesawat TUDM.
- Untuk membantu TUDM dalam memantapkan kemampuannya dalam memenuhi keperluan pertahanan negara.
Peranan PSTU.
Bersesuaian dengan objektif di atas maka tugas yang mampu dilaksanakan oleh PSTU adalah seperti berikut:
- Bersedia untuk diaturgerak dan mengambilalih tanggungjawab Angkatan Tetap TUDM semasa krisis atau darurat.
- Membantu menyelenggara dan merawat pesawat-pesawat TUDM.
- Mengadakan tenaga pengganti kepada Angkatan Tetap TUDM.
- Mengendali dan menyelenggara perkhidmatan penting di dalam TUDM apabila dikehendaki.
Perkembangan Semasa.
PSTU diwujudkan sejajar dengan Dasar
Pertahanan Negara (DPN) di mana segala sumber tenaga manusia serta
lain-lain aset negara perlu digembleng secara menyeluruh melalui konsep Total Defence atau Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Jabatanarah PSTU berperanan di peringkat
Markas TUDM di bawah Pengarah Sekretariat untuk melaksanakan tugas
staf dan bertanggungjawab terus kepada Timbalan Panglima Tentera Udara
(TPTU) melalui Asisten Ketua Staf Tadbir (AKS Tadbir). Jabatanarah PSTU
pula diketuai oleh 1 x Pegawai berpangkat Lt Kol TUDM iaitu Pengarah
PSTU serta dibantu oleh 2 x Pegawai berpangkat Mej TUDM iaitu PS 2
Tadbir dan PS 2 Sukarela.
Markas PALAPES Udara terdiri daripada
Pegawai dan Anggota LLP dari Angkatan Tetap dan juga Kerahan Sepenuh
Masa yang ditempatkan di sembilan (9) buah Markas PALAPES Udara di
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti berikut :
- Universiti Utara Malaysia (UUM).
- Universiti Sains Malaysia (USM).
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
- Universiti Malaysia Sabah-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan.
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
- Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Buat masa ini JPSTU mempunyai beberapa
buah unit di bawah pentadbirannya dan telah dipertanggungjawabkan untuk
mengkoordinasi keperluan seperti berikut:
- Pegawai Tauliah Kehormat TUDM.
- Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara.
- Pasukan Latihan Angkatan Simpanan (PLAS) Udara.
- Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) AIROD.
- Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Udara.
Pengurusan Latihan
Di dalam mempertingkatkan latihan untuk
anggota PSSTUDM seperti Pegawai Kadet PALAPES Udara, PLAS dan PSSTUDM
AIROD, JPSTU menggunakan buku Panduan Askar Wataniah MM 15.1.1A TD dalam
menguruskan Latihan Asas Ketenteraan kepada anggota-anggota sukarela.
Antara latihan yang dijalankan adalah seperti Latihan Tempatan, Latihan
Berterusan dan Latihan Kem Tahunan.
Latihan Tempatan.
Anggota Sukarela perlu menjalani Latihan
Tempatan sebanyak 240 jam dalam setahun yang diadakan di penempatan
masing-masing. Ia merangkumi Latihan Asas Ketenteraan sahaja.
Latihan Berterusan.
Latihan Berterusan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Yang Layak bagi tempoh berterusan 72 jam atau lebih.
- Masa Minimum Untuk Latihan Berterusan. Setiap perancangan untuk Latihan Berterusan hendaklah tidak kurang daripada 72 jam dan pelaksanaannya mestilah berterusan.
- Masa Maksimum Untuk Latihan Berterusan. Masa maksimum untuk Latihan Berterusan bagi seseorang Anggota Sukarela tidak melebihi 14 hari dalam setahun.
Latihan Kem Tahunan.
Pihak Berkuasa Yang Layak telah
membenarkan setiap Pegawai dan Anggota Sukarela menghadiri Latihan Kem
Tahunan bagi suatu tempoh yang pada kebiasaannya tidak melebihi tempoh
15 hari dalam setahun. Latihan ini boleh dijalankan sama ada berterusan
selama 15 hari atau dipecahkan kepada beberapa sesi atau modul tetapi
tidak kurang daripada 72 jam bagi setiap sesi/modul dan jumlah
keseluruhan adalah 15 hari dalam setahun.
the information credit to : http://www.airforce.gov.my/organisasi/pasukan-simpanan-tentera-udara/
Baru nak masuk palapes airforce unimas hari ini.. tnggal tapisan medic dan fizikal.. haraf dapat laaa.. thanks info..
ReplyDeleteTahniah syahfynaz zehra.. kita berjaya masuk.. semoga selamat ditauliahkan..
ReplyDelete